Sunday, 20 March 2011
Apa Kata Mantan Presiden JCorp
Alkisah… sebelum ini kita tak pernah memetik dari akhbar… namun kita percaya yang ini perlu diperiksa barang benar katanya. Apapun yang bakal kerugian adalah bangsa. Benar, hutang yang ada perlu dibayar, tapi apa kerana hutang perlu dijual semua dan mengapa tidak kepada yang sebangsa. Nah apa tidak ada jalan lain lagi..
BEKAS Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim mendakwa pihak pengurusan JCorp sedang merancang untuk menjual anak syarikatnya, Kulim (M) Bhd. (Kulim). Menurutnya, penjualan anak syarikat yang paling banyak menjana keuntungan kepada JCorp itu dipercayai untuk melunaskan bebanan hutang syarikat milik kerajaan negeri tersebut yang berjumlah RM3.6 bilion.
Katanya, langkah menjual Kulim kepada pihak lain merupakan tindakan yang merugikan kerana ia merupakan aset utama JCorp dan orang Melayu secara amnya.
“Saya mendapat maklumat ini daripada sumber-sumber boleh dipercayai yang kini berada di dalam JCorp sendiri. Jika perkara ini betul, saya menyeru kepada mereka yang berkenaan agar memikirkan semula cadangan menjual Kulim kerana ia akan merugikan JCorp sendiri.
“Saya juga percaya rancangan tersebut akan mendapat tentangan hebat daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang mahu melihat Kulim kekal di bawah JCorp untuk membantu bangsa Melayu,” katanya di sini hari ini. Menurut Muhammad Ali, Kulim kini merupakan salah satu penjana pulangan wang utama kepada JCorp kerana ia merupakan badan induk kepada QSR Brands Bhd., KFC Holdings (M) Bhd. dan turut memegang hak 38,000 hektar ladang sawit di seluruh negara.
“Sebagai bekas Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, saya berhak bersuara memandangkan langkah yang bakal diambil itu hanya akan merugikan JCorp dan juga orang Melayu.
“Saya yang sudah 30 tahun bersama dengan JCorp berasa sedih dan kecewa kerana ada usaha untuk menjual Kulim, saya akan bangkit menentang sekiranya perkara itu benar-benar berlaku,” katanya.
Muhammad Ali yang juga merupakan Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) berkata, beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi dalam hal tersebut sebaliknya ia adalah untuk kepentingan generasi akan datang.
- Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment